Sunday 16 October 2011

SULTAN KEDAH DIISYTIHAR YANG di PERTUAN AGONG KALI KEDUA

(Sabtu,15 Oktober 2011)-Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja telah mengisytiharkan Sultan Kedah,Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang Di Pertuan Agong yang baru menggantikan Sultan Mizan Zainal Abidin berkuatkuasa 13 Disember ini.Dengan pengisytiharan ini,maka ini merupakan kali kedua baginda menduduki takhta negara dimana pada kali pertama adalah pada tahun 1970.Ini merupakan sejarah pertama bagi negara kerana belum pernah mana-mana sultan menaiki takhta negara buat kali kedua.Sementara itu,sultan Kelantan,Sultan Muhammad V telah dipilih menjadi Timbalan Yang DiPertuan Agong bagi tempoh yang sama.Berikut adalah senarai Yang DiPertuan Agong daripada yang pertama hingga ke-13 :

(1). Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dari Negeri Sembilan, diputerakan pada 1895, memerintah pada 1957-1960, mangkat ketika memerintah pada 1 April 1960.

(2) Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shahdari Selangor, diputerakan pada 1898, memerintah pada 1960, mangkat ketika memerintah pada 1 September 1960.

(3). Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dari Perlis, diputerakan pada 1920, memerintah pada 1960-1965, mangkat pada 2000.

(4). Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III dari Terengganu, diputerakan pada 1907, memerintah pada 1965-1970, mangkat pada 1979.

(5). Sultan Abdul Halim Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dari Kedah, diputerakan pada 1927, memerintah pada 1970-1975.

(6). Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim Petra dari Kelantan, diputerakan 1917, memerintah pada 1975-1979, mangkat ketika memerintah pada 29 Mac 1979.

(7). Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah dari Pahang, diputerakan pada 1930, memerintah pada 1979-1984.

(8). Sultan Iskandar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Ismail dari Johor, diputerakan pada 1932, memerintah pada 1984-1989, mangkat pada 22 Januari 2010.

(9). Sultan Azlan Muhibbudin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzudin Shah dari Perak, diputerakan pada 1928, memerintah pada 1989-1994.

(10.) Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman dari Negeri Sembilan, diputerakan pada 1922, memerintah pada 1994-1999, mangkat pada 27 Disember 2009.

(11). Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj dari Selangor, diputerakan 1922, memerintah pada 1999-2001, mangkat ketika memerintah pada 4 Disember 2001.

(12). Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Syed Putra Jamalullaildari Perlis, diputerakan 1943, memerintah pada 2001-2006.

(13). Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj dari Terengganu, diputerakan 1962, memerintah pada 2006-2011.

Semoga dengan pengisytiharan ini,negara kita akan terus mencapai kegemilangan dan kemajuan serta keamanan dibawah duli tuanku.Daulat Tuanku!-UMD

Saturday 15 October 2011

KATA ALU-ALUAN KETUA PENGARANG

Assalamualaikum dan salam sejahtera.Pertama sekali saya sebagai ketua pengarang Um Daily memanjatkan rasa syukur kehadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya,saya dapat membuka laman rasmi bagi Um Daily pada hari ini.

Sebagai satu laman yang memaparkan perkembangan dalam dan luar kampus,maka adalah tanggungjawab bagi UMDaily memberi maklumat yang tepat dan telus kepada pembaca.

Kewujudan media-media alternatif seperti blog dan laman sosial seperti facebook yang meghidangkan berita dalam dan luar kampus,amat banyak seperti 'cendawan yang tumbuh selepas hujan'.Namun apa yang dikesalkan ialah laman-laman ini kadangkala mengandungi berita yang tidak tepat dan kadangkala dilihat sebagai satu agen penyebar fitnah yang boleh merosakkan institusi-institusi tertentu.

Dalam dunia globalisasi maklumat ini,cara termudah dan terpantas adalah menggunakan internet.Segala cerita atau berita sama ada yang tepat atau yang tidak tepat mudah didapati.Justeru,mahasiswa diharap dapat menilai terlebih dahulu berita-berita yang disampaikan samaada ia benar atau tidak.Kita bimbang mahasiswa/i mudah terpengaruh dengan berita-berita yang bertujuan merosakkan minda dan pemikiran-pemikiran mahasiswa pada hari ini supaya bersikap dan bertindak di luar batas dan adab seorang mahasiswa.

Untuk mengendalikan sesebuah laman sebegini,pemilik laman haruslah mempunyai intergriti dalam menyampaikan maklumat.Jika dilihat dimana-mana pun,nilai intergriti adalah nilai yang sangat penting dalam organisasi kerana ia mampu menunjukkan bahawa sesebuah organisasi itu mampu melangkah lebih jauh atau sebaliknya.

Harapan saya,kewujudan laman-laman yang bersifat neutral dan meneutralkan adalah digalakkan pada masa akan datang.Pikullah tanggungjawab sosial sebagai seorang mahasiswa yang cakna terhadap isu-isu semasa dan janganlah kita menjadi api dalam sekam atau musuh dalam selimut kepada tempat kita menuntut ilmu.Saya tegaskan disini bahawa nilai intergriti adalah amat penting dan diharap nilai-nilai ini wujud dalam diri semua mahasiswa kerana kita adalah generasi yang akan menyambung dan mewarisi tampuk kepimpinan negara.Terakhir,saya ucapkan selamat maju jaya dalam memikul amanah ibu bapa khasnya dan amanah rakyat Malaysia amnya.Teruskan menyokong UMDaily.

Nurul
-UMD-