Tuesday 12 November 2013

SESI PENYERAHAN BUKU LAPORAN MPPUM SESI 2012/2013 (THE BLACK & WHITE)

Universiti Malaya, 12 November 2013 - Sesi Penyerahan Buku Laporan MPPUM Sesi 2013/2013 kepada Timbalan Naib Cancelor Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr. Rohana Yusof telah diadakan di Pejabat TNC HEP, Aras 2 Blok D, Komplek Perdanasiswa jam 6 petang.

Turut hadir di dalam sesi ringkas tersebut ialah Saudara Izham Ismail, Mantan YDP MPPUM 2012/2013, Saudari Nur Atiqah Jani, Mantan Setiausaha Agung MPPUM 2012/2013 serta Barisan Caretaker yang lain.

Menurut Saudari Nuratiqah Jani, pendekatan ini merupakan julung-julung kalinya dilakukan di dalam sejarah dan legasi kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya tanda keseriusan dan kesungguhan dalam mencapai Visi, Misi dan Motto yang telah dibawakan sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai wakil pelajar. Beliau berkata penyerahan buku laporan ini adalah bukti kerasionalan kewujudan kabinet perwakilan pelajar di Universiti Malaya ini.

Buku Laporan yang bertajuk THE BLACK & WHITE ini adalah berdasarkan pencapaian yang dibuat dan segala program yang telah dilaksanakan oleh kesemua 43 orang ahli perwakilan pelajar yang telah menghantar laporan kerja di peringkat fakulti, universiti mahupun biro masing-masing. Walaubagaimanapun, terdapat juga beberapa orang Ahli MPPUM Sesi 2012/2013 yang gagal menyediakan laporan tersebut.

Buku Laporan setebal 70 mukasurat ini merupakan Edisi Khas Biro Penerangan dan Penerbitan MPPUM

hasil kesungguhan Saudara Yong Ii Yang selaku editor, saudari Nuratiqah Jani selaku Setiausaha Agung yang mengumpulkan kesemua data, maklumat, pencapaian, garis masa dan sebagainya, dan Saudari Lock Li Ping yang telah memberi sumbangsaran idea selaku Bendahari Agung MPPUM serta ahli-ahli perwakilan pelajar yang telah menghantar laporan masing-masing untuk diabadikan di dalam laporan, The Black & White ini.


Dari kiri: Profesor Datuk Dr. Rohana Yusof, Izham Ismail, Nuratiqah Jani, Siti Nur Fareha, Izhar Mustaqin dan Muhamad Aiman Taslim.

Dalam sesi tersebut, Datuk Rohana turut menzahirkan rasa kegembiraan beliau terhadap pencapaian MPPUM sesi yang lepas. Beliau menambah, "Saya berterima kasih kepada Ahli MPPUM Sesi 2012/2013 yang telah menjalankan tugas dengan cemerlang dan berusaha keras dalam menyerahkan laporan." Beliau juga berharap agar pencapaian gemilang ini dapat diteruskan lagi oleh pimpinan pelajar yang akan datang memandangkan notis pemilihan wakil pelajar yang baru telahpun diumumkan.

Majlis berakhir kira-kira jam 6.30 petang dengan sesi bergambar bersama Profesor Datuk Dr. Rohana Yusuf - TAHNIAH diucapkan!