Friday 8 November 2013

MAJLIS SERAH TUGAS NAIB CANCELOR UNIVERSITI MALAYA

Wakil pelajar yang hadir bergambar bersama Mantan Naib Cancelor UM. Dari kiri: Sharifah Nurulawwal, Putra Irwan Shah, Nuratiqah Jani, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon, Mohd Shahrul Hafiz, Adibah Farliyana dan Nur Aziera Azman.
Universiti Malaya, 7 Oktober 2013 – Majlis Serah Tugas Naib Cancelor Universiti Malaya telahpun diadakan bertempat di Galeri Seni, Canselori Universiti Malaya. Majlis ini merupakan upacara serah dan terima tugas daripada Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon kepada Profesor Dato’ Dr. Mohd Amin Jalaludin.

                Majlis ini telah berlangsung dengan ringkas dalam suasana yang harmoni dan meriah dengan kehadiran pegawai-pegawai pengurusan universiti, staf-staf serta wakil-wakil pelajar. Penyerahan tugas ini adalah berikutan tamatnya tempoh perkhidmatan Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon sebagai Naib Cancelor Universiti Malaya.

                Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon dalam ucapan terakhirnya berkata beliau menyokong penuh perlantikan Profesor Dato’ Dr. Mohd Amin sebagai Naib Cancelor yang baru yang pastinya akan membawa lebih kecemerlangan kepada Universiti Malaya dan menyambung legasi kepimpinan beliau. Beliau menambah, “Kita akan berdepan cabaran yang besar jika matlamat universiti tidak tercapai, orang ramai pastinya mempersoalkan kredibiliti dan tanggungjawab apabila kita memegang jawatan tertinggi universiti. Di akhir ucapannya, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon menyatakan beliau sentiasa bersedia untuk membantu universiti pada bila-bila masa sahaja jika diperlukan.

Profesor Dato' Dr. Mohd Amin sedang berucap
                Menurut Profesor Dato’ Dr. Mohd Amin Jalaludin pula, tanggungjawab yang diamanahkan ini akan dijaga dengan baik dan akan dijalankan dengan penuh dedikasi. Beliau turut bertekad untuk memperkukuhkan lagi Universiti Malaya terutamanya dalam memberikan dasar pendidikan yang terbaik. Pemilihan Prof. Datuk Dr Mohd Amin adalah berdasarkan kepada kriteria yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan di samping pengalaman beliau dalam aspek pembangunan akademik UM.  Sebelum dilantik sebagai Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Mohd Amin adalah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa di UM dan pakar dalam bidang perubatan 'Head and Neck' dan Otologi.

                Pelajar Jurusan Ekonomi dan Pentadbiran UM , Mohd Shahrul Hafiz yang turut menghadiri majlis tersebut pula berkata, “Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon bukan sahaja seorang Naib Canselor, bahkan juga seorang kawan yang sangat baik.” Shahrul menambah, gaya beliau yang dilihat sangat bersahaja memudahkan beliau didekati oleh sesiapa saja termasuk pelajar UM sendiri dan jasa beliau yang ternyata banyak sekali pasti akan dikenang oleh seluruh warga Universiti Malaya.

               Majlis ini tamat kira-kira jam 5.30 petang dan hadirin yang hadir dihidangkan dengan jamuan petang yang ringkas.

Mohd Shahrul Hafiz bersama Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon
             

                Di kesempatan ini, warga UMDaily turut ingin mengucapkan salam perpisahan kepada Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon dan selamat menjalankan tugas kepada Naib Cancelor UM yang baru, Profesor Dato’ Dr. Mohd Amin Jalaludin.