Wednesday 29 February 2012

Benda Baik Kita Share, Dapat Pahala Sama-Sama.


UMD ada membaca satu atikel daripada LangitIlahi. Terdetik dihati ini untuk berkongsi apa yang dirasai. Harap kita semua dapat mengambil sedikit sebanyak nasihat dan mesej yang ingin disampaikan kepada kita.

Allah Bukan Tidak Menjawab Kamu
Ada manusia, rasa ditinggalkan Allah SWT.
Dia merasakan, Allah telah berpaling daripadanya. Hidupnya sentiasa sukar, dan kesenangannya tidak pernah lama. Derita, derita dan derita sahaja yang diterimanya. Bila dia merasakan dia baru sahaja bahagia, akan datang pula satu lagi cabaran yang menggegarkan kehidupannya.
Akhirnya dia kelelahan. Kekuatannya kontang. Lantas dia merosot jatuh, terlutut dengan tangisan. Rasa tidak berguna lagi kehidupan. Rasa lebih baik dirinya dijemput kematian segera. Kerana dia kini benar-benar rasa tidak berkemampuan. Derita yang sangat derita, dan kini dia tidak lagi mampu bertahan.
Tetapi, benarkah Allah meninggalkan?
Kebersihan iman
Keimanan adalah keyakinan. Sekiranya iman kita bersih, maka kita akan kekal yakin kepada Allah SWT. Sebab itu kita mampu mengikuti syariatNya, perintahNya, walaupun kadangkala macam sedikit sukar dan membebankan.
Orang Nasrani sekadar ke gereja seminggu sekali, kita perlu solat lima kali sehari. Agama lain kalau puasa sekejap sahaja, kita pula perlu menjalani ibadah puasa 30 hari lamanya. Perempuan lain pakai apa yang mereka suka, Islam ketat mengarahkan wanitanya menutup aurat dan hanya boleh mendedahkan muka dan kedua telapak tangan sahaja.
Keimanan, adalah apa yang memampukan kita melakukan semua itu. Kalau diikutkan kewarasan akal biasa, mungkin kita awal-awal lagi sudah mencerca Allah SWT kerana mengarahkan perkara-perkara yang sedemikian. Tetapi keimanan adalah apa yang meningkatkan kewarasan akal kita dari biasa, kepada luar biasa. Hingga kita faham bahawa, Allah tidak akan memberikan kita perkara yang sia-sia. Semua itu pasti ada hikmahnya. Itulah dia kewarasan kita. Bukan maddi(material) semata-mata.
Jadi, keimanan yang bersih akan membawa kepada kefahaman bahawa segala dugaan dan cabaran, halangan dan kesukaran, semuanya adalah pemberian Allah SWT. Dan msutahil Allah memberikannya sekadar untuk bermain-main dengan kita.
Ada tujuan.
Dan itu adalah bukti, ujian dan halangan, kesukaran dan cabaran, bukanlah petanda Allah meninggalkan kita. Bahkan, sebaliknya. Kita boleh melihat, itulah tanda Allah ‘sedang memandang’ kita.
Tujuan ujian
Kita kembali kepada Allah SWT, dalam tujuanNya menurunkan cabaran dan kesukaran.
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” Surah Al-Ankabut ayat 2-3.
Nyata, tujuan ujian hakikatnya adalah ‘tapisan’. Dunia bukan pentas penerimaan hadiah di mana kita mendapat natijah. Tetapi dunia hakikatnya adalah pentas pertandingan, untuk menguji ‘peserta-peserta’ di dalamnya. Pentas penerimaan hadiah adalah di akhirat sana.
Dan ujian bukan semata-mata ‘tapisan’, tetapi ujian juga datang sebagai ‘pembalasan’ ataupun ‘pembersihan’ ataupun ‘peringatan’.
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” Surah Ar-Ruum ayat 41.
Jadi, ayat di atas jelas menunjukkan betapa kadangkala bala yang menimpa itu, hakikatnya adalah akibat daripada perbuatan kita. Ini termasuklah dosa-dosa yang kita lakukan. Ada sebahagian manusia itu, Allah hapuskan terus bila diturunkan bala ke atas mereka. Sebagai contoh, Kaum Nuh yang majoritinya tenggelam lemas dalam banjir besar. Tetapi wujud sebahagian yang lain, Allah hidupkan selepas menerima ujian, ataupun ujian itu diciptakan memang untuk tidak menghilangkan nyawanya, bertujuan memberikannya ‘tamparan peringatan’ akan keadaan dirinya.
Ujian juga, hakikatnya adalah satu bentuk ‘panggilan’ Allah SWT, agar hamba-hambaNya yang selama ini alpa, merapat kepadaNya. Lihatlah firman Allah SWT:
“Dan apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka ke darat maka sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap adil (lalu bersyukur kepada Allah serta mengesakanNya). Dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji, lagi amat tidak mengenang budi.” Surah Luqman ayat 32.
Jelas bukan? Ujian daripada Allah itu, nyata bukan kosong. Tetapi ada tujuannya. Mustahil sia-sia.
Allah bukan tidak menjawab, tetapi Dia Maha Tahu bila hendak menjawab
Lama bertahan kadangkala membuatkan kita kecewa. Lebih menyakitkan hati, apabila kita cuba meluahkan penderitaan kita, orang lain hanya tahu menyatakan sabar sahaja. Sedangkan yang kita perlu adalah ‘tindakan’, bukan sekadar bicara-perkataan.
Tetapi apabila kita balik kepada hakikat ujian tadi, dan tujuannya, bukankah hati sudah sedikit tenang? Nyata di dalam ujian itu juga yang ada hanyalah kebaikan-kebaikan sahaja.
“Yalah, aku faham semua itu, tetapi aku manusia.”
Ya, saya faham. Saya juga manusia. Sebab itulah saya bermula dengan kebersihan iman, dan mengajak kita memahami hakikat ujian. Sebab saya sendiri pernah gugur dan jatuh. Bukan sekali dua, bahkan berkali-kali. Tersungkur, saat-saat merasakan diri ini ditinggalkan. Pernah hendak cuba menjerit ke langit dan memarahi Allah, pernah juga terfikir untuk merajuk dengan dunia dan menghentikan kehidupan. Saya pernah bersedih hingga ke tahap itu. Dan saya yakin, esok lusa akan ada lagi ujian-ujian yang lebih hebat dari yang pernah saya lalui, yang akan membuatkan saya terlutut semula.
Tetapi, ada kelainan apabila kita memahami apakah itu ujian? Mengapakah diturunkan ujian? Apakah tujuan ujian? Ada perbezaannya apabila kita memahaminya. Apatah lagi apabila kita punya keyakinan terhadap Tuan Punya Ujian.
Akhirnya, lama-kelamaan, saya melihat bahawa putus asa itu sebenarnya berlawanan dengan kewarasan akal. Akhirnya saya berjaya melihat bahawa, menjerit ke langit itu berlawanan dengan kewarasan akal. Begitu juga merajuk dengan dunia dan menghentikan kehidupan. Sebab sebenarnya, kita ada satu lagi pilihan. Itulah dia terus bertahan.
Allah bukan tidak menjawab segala doa, segala solat hajat, segala aduan, segala permintaan. Dia Maha Mendengar, dan tiada tempat pengaduan yang lebih baik daripada Dia. Tinggal, Dia itu juga bukan sekadar Maha Mendengar, bukan sekadar Maha Pemakbul Doa, tetapi Dia juga adalah Yang Maha Tahu Atas Segala-galanya. Dia Maha Tahu bilakah waktu yang sesuai untuk menjawab doa kita, untuk memakbulkan permintaan kita. Dia Maha Tahu kemampuan kita, sampai bilakah kita mampu bertahan. Dia Maha Tahu, apakah manfaatnya ujian yang Dia turunkan kepada kita.
Sebab itu, lihatlah firman-firmanNya berkenaan dengan ‘kelewatan’ pertolonganNya. Semua punya bonus.
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).” Surah Al-Baqarah ayat 214.
Bagaimana agaknya, orang-orang yang teruji, sampai rasa tidak punya lagi harapan, dan pada saat itu sampailah pertolongan yang selama ini diharapkan? Bukankah kekuatannya akan lebih tertingkat? Bukankah dia akan menjadi yang lebih bersyukur? Bukankah keimanannya akan melonjak?
“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri. Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran); dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir.” Surah At-Taubah ayat 25-26.
Saat-saat sebahagian manusia telah berputus asa dan berundur, dan sebahagian lain pula kekal bertahan dalam keadaan kekalahan, bukankah apabila Allah turunkan pertolongan pada saat itu akan berlakunya peningkatan terhadap yang kekal percaya? Bukankah telah tertapis daripada golongan pejuang itu mereka yang benar-benar ikhlas memperjuangkan agama Allah?
Sebab itu, Allah Maha Tahu bilakah hendak menjawab doa-doa hambaNya.
Dia tahu waktu dan ketikanya.
Yang tinggal adalah kita. Apakah mahu kekal bertahan dan percaya? Atau mengalah, menjadi yang rugi selama-lamanya?
Penutup: Dan ada orang itu, kekal teruji hingga ke akhirnya.
Ada di dalam sejarah, manusia-manusia yang mati dalam keadaan tidak mencapai kemenangan perjuangannya. Seperti Nabi Yahya yang dipenggal kepalanya, seperti Nabi Zakaria yang dibelah tubuhnya, seperti tuk guru kepada remaja dalam cerita Ashabul Ukhdud yang di kerat dua dari kepalanya, seperti Khubaib ibn ‘Adi RA yang mati dilapah-lapah Abu Jahal jasadnya, seperti Mus’ab bin Umair RA yang mati kudung kedua belah tangannya, seperti Anas bin Nadhr RA yang mati dengan 80 tusukan pada jasadnya hingga wajahnya tidak dikenali sesiapa kecuali adiknya yang mampu mengenalinya dari cincin di jarinya, seperti Hamzah RA yang mati dimamah jantungnya, dan seperti ramai lagi manusia yang telah berlalu di zaman ini(Asy-Syahid Hassan Al-Banna, Asy-Syahid Syed Qutb) dan juga zaman terdahulu yang mati sebelum menikmati kesenangan hidup.
Apakah Allah tidak menjawab doa mereka?
Tidak. Allah menjawab doa mereka. Dengan syurgaNya.
“Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang besar.Surah As-Saff ayat 11-12.
Mereka adalah bukti-bukti, buat mereka yang kini teruji dan hampir hilang percaya.
Jadi bagaimanakah kita?
Apakah benar Allah meninggalkan kita?
Hakikatnya, Allah itu tidak pernah meninggalkan hamba-hambaNya.
Tetapi hamba-hambaNyalah yang sering meninggalkan Dia.





Monday 27 February 2012

Takziah Buat Warga Kolej Kediaman Ke Dua

Assalamualaikum, UMD mendapat informasi bahawa terdapat pelajar kolej kediaman ke Dua telah meninggal dunia malam semalam. Nama pelajar tersebut adalah Muhammad Iqbaruddin bin Munir pelajar tahun pertama fakulti pendidikan. UMD mewakili seluruh warga kampus mengucapkan takziah atas pemergian Allahyarham. UMD berharap agar keluarga Allahyarham dapat bersabar dan bertenang di atas pemergian. Mari kita sama-sama sedekahkan bacaan surah Al-Fatihah kepada Allahyarham. Semoga rohnya sejahtera dan selamat hendaknya disana.

Thursday 16 February 2012

SETIAP PENYAKIT ADA PENAWARNYA.



DARI Anas bin Malik r.a, Nabi SAW bersabda: "Janganlah sekali-kali salah seorang daripada kamu mengharapkan kematian kerana suatu malapetaka yang menimpanya. Jika ia tidak dapat berbuat sesuatu (sudah puas berubat atau berikhtiar) maka hendaklah ia berdoa: "Wahai Tuhanku, hidupkanlah aku seandainya kehidupan itu lebih baik bagiku, tetapi matikanlah aku seandainya kematian itu lebih baik bagiku." (Riwayat Bukhari) 


ISLAM menyuruh umatnya agar berusaha dan berikhtiar dalam apa jua perkara dan kesulitan yang dialami di samping berdoa memohon petunjuk dan pertolongan daripada Allah SWT

Hal ini kerana kehidupan itu adalah suatu ujian daripada Allah yang diberikan kepada setiap manusia demi menguji sejauh mana keteguhan iman seseorang itu dan setakat manakah pergantungannya terhadap Allah. 

Golongan yang beriman akan sentiasa bersabar dan tabah menghadapi dugaan, sebaliknya bagi orang yang kurang imannya yang mana hal yang demikian boleh menyebabkan seseorang itu menyalahkan takdir Allah hingga diri tersesat jauh daripada jalan-Nya. 

Oleh itu hendaklah kita sentiasa beringat bahawa setiap kesakitan atau ujian yang dialami itu adalah suatu tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya yang mana jika seseorang itu berjaya mengatasinya iaitu ia tidak mengeluh dan sentiasa bersabar sambil berusaha dan berikhtiar, Allah akan memberinya ganjaran pahala yang amat besar. 

Bukankah setiap penyakit itu ada ubatnya. Maka kita selaku hamba-Nya mesti yakin akan kebesaran kuasa Allah dan janji Allah serta tidak berputus asa. Hidup adalah suatu perjuangan. Bak kata pepatah Melayu ‘pantang maut sebelum ajal’. -Berita Harian

Nama UM Semakin Harum Dalam Arena Debat

UMD diberitahu Universiti Malaya berjaya memenangi Debat Piala DiRaja yang dianjurkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM). Majlis penutup Debat Piala DiRaja yang diadakan di USM ini telah dirasmikan oleh Dato' Saifuddin Abdullah. Pasukan debat UM telah berjaya mengharungi halangan yang mendatang dan seterusnya menempatkan diri di pentas akhir debat untuk merebut gelaran juara. Kemarau pentas akhir Debat Piala DiRaja selama 6 tahun berakhir apabila pasukan debat UM berjaya merangkul gelaran Juara Debat Di Raja  Kategori Utama 2012. Gelaran juara diperolehi apabila di pentas akhir pasukan debat UM berhadapan dengan pasukan debat USM petah berkata-kata malah mampu menggugat pasukan UM untuk merangkul gelaran juara. Berbekal idea yang bernas, pasukan debat UM telah berjaya merangkul gelaran juara. UM telah diwakili  oleh Azzairi Rosle, Firdaus Ahmad, Keng Fai Chan dan Mohammad Asri. Lebih manis apabila pendebat terbaik dimenangi oleh Firdaus Ahmad. Tidak dilupakan kepada pasukan muda debat UM yang kurang berjaya apabila perjalanan ke pentas akhir terhenti diperingkat separuh akhir. Walau bagaimana pun pujian harus diberi kerana mereka telah berjaya mengharungi pelbagai dugaan untuk sampai ke peringkat separuh akhir. UMD berharap pasukan debat muda UM tidak lemah semangat dalam menaik dan mengharumkan nama universiti kesayangan kita ini. Sekali lagi UMD ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan debat senior UM kerana berjaya menjadi johan seterusnya mengharumkan nama universiti kesayangan kita. UM is ONE!!




Wednesday 15 February 2012

Selamat Kembali Mahasiswa!!

Salam Perjuangan,
Semester baru akan bermula tidak lama lagi, pasti ramai yang mungkin berasa sedih kerana bakal meninggalkan rumah dan keluarga tersayang demi menuruskan usaha mencapai cita-cita serta hasrat murni. Mungkin semester   lepas mencatatkan keputusan yang tidak memberangsangkan, tetapi janganlah kita meratapi kegagalan tersebut kerana ianya tidak akan membawa sebarang perubahan. Seharusnya kita bangun dan melihat bagaimana untuk kita bangun bagi mengatasi segala yang dihadapi. Kita tidak mengetahui apa yang akan berlaku esok, tetapi kita  tahu kepada siapa kita mahu bergantung harap. Ingatlah jika kita diberikan peluang ke dua, janganlah kita tidak memanfaatkan peluang yang diberikan kepada kita.



"Tuhan kami!! Kau yang kami telah meletakkan amanah kami, dan kepada Kau yang kami bertaubat, bagi kepada Kau adalah akhir perjalanan semua (60:40)"