Tuesday 12 November 2013

SESI PENYERAHAN BUKU LAPORAN MPPUM SESI 2012/2013 (THE BLACK & WHITE)

Universiti Malaya, 12 November 2013 - Sesi Penyerahan Buku Laporan MPPUM Sesi 2013/2013 kepada Timbalan Naib Cancelor Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr. Rohana Yusof telah diadakan di Pejabat TNC HEP, Aras 2 Blok D, Komplek Perdanasiswa jam 6 petang.

Turut hadir di dalam sesi ringkas tersebut ialah Saudara Izham Ismail, Mantan YDP MPPUM 2012/2013, Saudari Nur Atiqah Jani, Mantan Setiausaha Agung MPPUM 2012/2013 serta Barisan Caretaker yang lain.

Menurut Saudari Nuratiqah Jani, pendekatan ini merupakan julung-julung kalinya dilakukan di dalam sejarah dan legasi kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya tanda keseriusan dan kesungguhan dalam mencapai Visi, Misi dan Motto yang telah dibawakan sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai wakil pelajar. Beliau berkata penyerahan buku laporan ini adalah bukti kerasionalan kewujudan kabinet perwakilan pelajar di Universiti Malaya ini.

Buku Laporan yang bertajuk THE BLACK & WHITE ini adalah berdasarkan pencapaian yang dibuat dan segala program yang telah dilaksanakan oleh kesemua 43 orang ahli perwakilan pelajar yang telah menghantar laporan kerja di peringkat fakulti, universiti mahupun biro masing-masing. Walaubagaimanapun, terdapat juga beberapa orang Ahli MPPUM Sesi 2012/2013 yang gagal menyediakan laporan tersebut.

Buku Laporan setebal 70 mukasurat ini merupakan Edisi Khas Biro Penerangan dan Penerbitan MPPUM

hasil kesungguhan Saudara Yong Ii Yang selaku editor, saudari Nuratiqah Jani selaku Setiausaha Agung yang mengumpulkan kesemua data, maklumat, pencapaian, garis masa dan sebagainya, dan Saudari Lock Li Ping yang telah memberi sumbangsaran idea selaku Bendahari Agung MPPUM serta ahli-ahli perwakilan pelajar yang telah menghantar laporan masing-masing untuk diabadikan di dalam laporan, The Black & White ini.


Dari kiri: Profesor Datuk Dr. Rohana Yusof, Izham Ismail, Nuratiqah Jani, Siti Nur Fareha, Izhar Mustaqin dan Muhamad Aiman Taslim.

Dalam sesi tersebut, Datuk Rohana turut menzahirkan rasa kegembiraan beliau terhadap pencapaian MPPUM sesi yang lepas. Beliau menambah, "Saya berterima kasih kepada Ahli MPPUM Sesi 2012/2013 yang telah menjalankan tugas dengan cemerlang dan berusaha keras dalam menyerahkan laporan." Beliau juga berharap agar pencapaian gemilang ini dapat diteruskan lagi oleh pimpinan pelajar yang akan datang memandangkan notis pemilihan wakil pelajar yang baru telahpun diumumkan.

Majlis berakhir kira-kira jam 6.30 petang dengan sesi bergambar bersama Profesor Datuk Dr. Rohana Yusuf - TAHNIAH diucapkan!

Friday 8 November 2013

MAJLIS SERAH TUGAS NAIB CANCELOR UNIVERSITI MALAYA

Wakil pelajar yang hadir bergambar bersama Mantan Naib Cancelor UM. Dari kiri: Sharifah Nurulawwal, Putra Irwan Shah, Nuratiqah Jani, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon, Mohd Shahrul Hafiz, Adibah Farliyana dan Nur Aziera Azman.
Universiti Malaya, 7 Oktober 2013 – Majlis Serah Tugas Naib Cancelor Universiti Malaya telahpun diadakan bertempat di Galeri Seni, Canselori Universiti Malaya. Majlis ini merupakan upacara serah dan terima tugas daripada Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon kepada Profesor Dato’ Dr. Mohd Amin Jalaludin.

                Majlis ini telah berlangsung dengan ringkas dalam suasana yang harmoni dan meriah dengan kehadiran pegawai-pegawai pengurusan universiti, staf-staf serta wakil-wakil pelajar. Penyerahan tugas ini adalah berikutan tamatnya tempoh perkhidmatan Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon sebagai Naib Cancelor Universiti Malaya.

                Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon dalam ucapan terakhirnya berkata beliau menyokong penuh perlantikan Profesor Dato’ Dr. Mohd Amin sebagai Naib Cancelor yang baru yang pastinya akan membawa lebih kecemerlangan kepada Universiti Malaya dan menyambung legasi kepimpinan beliau. Beliau menambah, “Kita akan berdepan cabaran yang besar jika matlamat universiti tidak tercapai, orang ramai pastinya mempersoalkan kredibiliti dan tanggungjawab apabila kita memegang jawatan tertinggi universiti. Di akhir ucapannya, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon menyatakan beliau sentiasa bersedia untuk membantu universiti pada bila-bila masa sahaja jika diperlukan.

Profesor Dato' Dr. Mohd Amin sedang berucap
                Menurut Profesor Dato’ Dr. Mohd Amin Jalaludin pula, tanggungjawab yang diamanahkan ini akan dijaga dengan baik dan akan dijalankan dengan penuh dedikasi. Beliau turut bertekad untuk memperkukuhkan lagi Universiti Malaya terutamanya dalam memberikan dasar pendidikan yang terbaik. Pemilihan Prof. Datuk Dr Mohd Amin adalah berdasarkan kepada kriteria yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan di samping pengalaman beliau dalam aspek pembangunan akademik UM.  Sebelum dilantik sebagai Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Mohd Amin adalah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa di UM dan pakar dalam bidang perubatan 'Head and Neck' dan Otologi.

                Pelajar Jurusan Ekonomi dan Pentadbiran UM , Mohd Shahrul Hafiz yang turut menghadiri majlis tersebut pula berkata, “Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon bukan sahaja seorang Naib Canselor, bahkan juga seorang kawan yang sangat baik.” Shahrul menambah, gaya beliau yang dilihat sangat bersahaja memudahkan beliau didekati oleh sesiapa saja termasuk pelajar UM sendiri dan jasa beliau yang ternyata banyak sekali pasti akan dikenang oleh seluruh warga Universiti Malaya.

               Majlis ini tamat kira-kira jam 5.30 petang dan hadirin yang hadir dihidangkan dengan jamuan petang yang ringkas.

Mohd Shahrul Hafiz bersama Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon
             

                Di kesempatan ini, warga UMDaily turut ingin mengucapkan salam perpisahan kepada Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon dan selamat menjalankan tugas kepada Naib Cancelor UM yang baru, Profesor Dato’ Dr. Mohd Amin Jalaludin.


Friday 1 November 2013

Ekspresi Srikandi 2.0 | Pink For October

30 Oktober 2013, Rabu - Pada kali ini Srikandi Malaya datang dengan program Ekspresi Srikandi 2.0 dengan membawakan Puan Amna Salleh dan Salmah Mohd Yunus Zyllwyn-Stewart iaitu penceramah dan survival kanser bagi berkongsi pengalaman dan informasi berguna mengenai kanser payudara ini. Sambutan yang hangat telah diberikan oleh para siswi walaupun cuaca tidak menentu pada hari tersebut.

 Cara-cara membuat pemeriksaan sendiri payudara telah diterangkan dan diberi tunjuk ajar oleh Puan Amna Salleh . Beliau mengatakan perempuan seharusnya menjaga dan sentiasa membuat pemeriksaan badan dan payudara bagi memastikan tubuh badan yang sihat dan jauh dari sebarang penyakit.


Para siswi yang hadir tidak melepaskan peluang mereka mengekspresikan pendapat dan fahaman mereka berkaitan isu kanser payudara ini. Beberapa cabutan bertuah turut diberikan kepada siswi yang hadir.




Berakhirnya program Srikandi 2.0 ini dengan jamuan ringan buat semua yang hadir. Kesedaran telah dipupuk dalam diri masing-masing dan Srikandi Malaya telah meninggalkan satu memori manis dan impak kepada mereka yang terlibat. Melalui program ini, harapan dari AJ sendiri agar program Srikandi Malaya yang seterusnya mendapat sambutan yang lebih hangat lagi dari semua mahasiswi .