Friday 25 November 2011

Apabila AUKU Didahulukan,Pencapaian Ditinggalkan


Oleh : Malik Syam Abdul Latiff

Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan di Parlimen bahawa Sekyen 15 AUKU akan disemak semula bagi membolehkan pelajar universiti yang berumur 21 tahun keatas menjadi ahli parti politik. Tindakan ini disambut baik oleh pelbagai pihak kerana ia adalah satu “breakthrough” dalam sistem politik Malaysia atau boleh saya katakan ia semakin terbuka. Maka, telah bersoraklah segala masyarakat dalam FB dan Twitter namun rata-rata dalam konteks yang salah. Antara komen yang saya dengar ialah, kita boleh pacak bendera parti dalam kampus, kita adakan Minggu Promo Parti Politik, dah boleh buat ceramah politik dan sebagainya tanpa menyedari bahawa PM juga menyatakan bahawa Politik tidak boleh dibawa ke kampus.

            Saya secara peribadi amat gembira kerana lepas ini saya sudah boleh mendaftar sebagai ahli dalam parti politik pilihan saya dan boleh menabur tenaga dan akal fikiran untuk parti yang sokong dalam konteks di luar kampus namun adakah semua pelajar akan melakukan perkara yang sama ? Sejak hampir 3 tahun menuntut di UM, saya memerhatikan terdapat segelintir pelajar yang membawa agenda, idelogi atau cara parti politik pilihan ke kampus yang dapat dilihat semasa Pilihan Raya Kampus dan telah dibuktikan apabila kemenangan kumpulan tertentu dalam PRK dianggap sebagai kemenangan Parti tertentu. Maka, saya kurang pasti bahawa pelajar-pelajar terbabit akan gembira atau berterima kasih dengan semakan yang dicadangkan.

            Lebih menarik, terdapat pihak yang bukan sahaja ingin kekangan terhadap politik dihapuskan tetapi inginkan perkataan “Naib Canselor” dan “Menteri” digugurkan dari AUKU. Mereka melihat kuasa yang diturunkan kepada penama diatas menghalang pelajar dari pelbagai aspek termasuk dari segi pemikiran. Universiti adalah bebas namun kebebesan melampau boleh mendatangkan bahaya kepada pihak lain. Pendek kata saya mengambil contoh kebebesan bersuara dan punca peristiwa 13 MEI 1969 adalah kerana kebebesan suara yang telah telah menyentuh sensiviti kaum sehingga pisau dibuktikkan lebih tajam dari mulut pada masa itu. Adakah kita inginkan peristiwa sedemikian berulang ?

Politik merupakan permainan semula jadi manusia semenjak kewujudan manusia sehinggalah ke hari ini tetapi malangnya segelintir pelajar telah meletakkan hal ini sebagai keutamaan atas nama perjuangan. Makan, minum, tidur hingga cara pemakaian pun boleh dipolitikkan.

            Saya amat kecewa melihat apabila rata-rata pelajar gagal melihat tanggungjawab mereka dalam konteks pembangunan negara dari segi produktivi. Malaysia kini menghadapi saingan hebat dari pelbagai pelusuk dan kita amat terdesak untuk mendapatkan pakar-pakar bagi pelbagai bidang. Isu yang sering dibawa adalah kebebasan bersuara, hak asasi manusia, AUKU, ISA, Seksualiti Merdeka dan banyak lagi namun hanya dalam konteks retorik sahaja. Bolehkah saya membawa retorik-retorik tersebut untuk digunakan membeli beras, membeli ubatan atau membeli buku ? Adakah seorang petani miskin akan inginkan ISA dimansuhkan atau inginkan kehidupan yang selesa untuk keluarganya ? Adakah ibu bapa mahukan AUKU dimansuhkan atau inginkan anak mereka berjaya dalam pelajaran ?

            Gunakan peluang yang telah dibuka apabila semakan terhadap Seksyen 15 dibuat untuk menaburkan idea dalam saluran masing-masing. Gunakan universiti untuk mencetus perbincangan Ilmiah yang berkualiti untuk mencari idea atau jalan bagi memperbaiki kehidupan masyarakat. Kita sudah terlalu selesa mengutuk atau mengata namun jarang kita memberikan idea bernas untuk memperbaiki keadaan. Pernahkah kita jika tersangkut dalam kesesakkan lalu-lintas memikirkan bagaimana cara terbaik untuk mengatasinya atau sekadar melepaskan tanggungjawab itu kepada orang lain ?

            Jangan tanya apa yang negara boleh lakukan untuk anda tetapi tanya apa yang anda boleh lakukan untuk negara anda ? Dan perlakuan itu bukanlah dengan mengankat sepanduk mahupun berhimpun kerana perkara-perkara ini tidak boleh memberi sesuap nasi kepada mereka yang memerlukan.