Saturday, 26 November 2011

Mahasiswa dan Hijrah : Sebuah Perjuangan Islami


Oleh : Fathi Kamal Md Isa

Bismillahirrahmaanirrahim. Dengan Nama Allah, Tuhan Pentadbir Sekalian Alam, Selawat & Salam Ke Atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Serta Ahli Keluarga Baginda, & Penerus Legasi Dakwah Islamiyah Sama Ada Yang Masih Hidup Ataupun Yang Telah Kembali Kepada-Mu.

MAHASISWA DAN HIJRAH : SEBUAH PERJUANGAN ISLAMI

Rencah kehidupan kampus masakini sememangnya jelas menekan mahasiswa. Tekanan yang dimaksudkan bukanlah sekadar kepada diri, malahan juga tekanan kepada iman sebagai seorang mahasiswa islam! Mana tidaknya, saban hari kita dihidangkan dengan ‘rojak’ sebuah kehidupan yang bersandarkan hiburan & keseronokan semata, sehinggakan dalam kita tidak sedari, iman kita sedang meronta-ronta memohon agar tuan empunya jasad kembali segera ke jalan azali, jalan yang lurus, jalan ALLAH, Tuhan sekalian alam.


Hinggap gagak di tebing telaga,
Terbang pulang di awal pagi,
Iman di dada tiada dijaga,
Takwa PASTI beransur pergi..


HIJRAH. Setiap kali menjelang akhir zulhijjah, kita sering dibisikkan tentang perlunya perubahan dalam diri dilaksanakan sejajar dengan maksud hijrah yang sebenarnya; iaitu “beralih daripada suatu kondisi yang kurang baik kepada arah hidup dan persekitaran yang lebih baik”. Apakah itu persekitaran yang baik? Ya, tidak ada jawapan yang lebih tepat selain daripada Persekitaran Islam. Jika hari sebelum-sebelum ini kita berada dalam persekitaran ‘jahiliyah moden’, marilah kiranya jika kita mula mengorak langkah untuk menjauhinya. Hijrah bukan semestinya perlu dilakukan secara total; yakni terus berubah secara drastik, tetapi cukup sekadar perubahan secara perlahan-lahan dan berkala (lebih baik daripada langsung tidak mahu berubah). Jika hari ini kita sering melakukan maksiat kepada Allah, mari mahasiswa, mari kita mula menjauhi perkara bathil ini secara beransur-ansur. Sahabatku pernah menyebut, “kebaikan dan kebathilan bagaikan minyak dan air, tidak mungkin keduanya dapat bercampur”. Begitulah diibaratkan perkara dosa dan pahala, setiap amalan buruk akan membawa seseorang ke neraka, melainkan dengan mendapat keampunan Allah sahaja dapat melepaskan sesorang itu daripada azab neraka yang maha pedih.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr r.a: “ Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang maksudnya:” Seorang Muslim adalah orang yang tidak merugikan Muslim lainnya dengan lidah, mahupun dengan kedua tangannya. Dan seorang Muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan semua larangan Allah SWT.”

Hadith di atas jelas menekankan kebergantungan antara setiap muslim dengan muslim yang lainnya. Dalam erti kata yang mudah, kita sebagai penganut Islam saling bergantungan. Tidak ada erti kejayaan hanya bagi individu tertentu sebaliknya kejayaan tersebut adalah milik bersama, kerana kita adalah bersaudara. Bahkan, kegagalan sesorang muslim juga adalah kegagalan yang dikongsi bersama. Dalam konteks mahasiswa islam, tiada perumpaan “jaga tepi kain orang”, kerana kita sebagai kelompok muslimin muslimat adalah bagaikan usrah (keluarga). Jika dicubit peha kanan, peha kiri juga merasa sakitnya. Bahkan hadith Nabi pernah menyebut bahawa kaum muslim bagaikan sebujur anggota badan, sakit satu daripadanya, seluruhnya merasa sakitnya. Begitulah juga kita sebagai mahasiswa islam, adalah sangat tidak wajar kita mewujudkan kelompok-kelompok tertentu, misalnya “kelompok yang memperjuang islam” dan “kelompok yang tidak memperjuang islam”, pelabelan sebegini adalah SALAH, serta menyimpang dari maksud hadith di atas. Sebaliknya, sebagai mahasiswa islam, kita perlu sepakat dalam mengangkat islam sebagai satu cara hidup yang sempurna. Sekiranya kita dapati rakan seislam kita menyimpang dari jalan yang lurus, wajib kita membawanya kembali ke jalan yang betul, BUKANNYA mengasingkan mereka dengan melabelkan kumpulan mereka sebagainya kumpulan fasiq, kufur, tidak islamik dan seumpamanya. Hal ini akan membuatkan mereka lebih jauh terpinggir dari ajaran islam. Dan yang lebih penting lagi, perjuangan atas nama islam wajib dilaksanakan dengan cara yang betul, bukannya berjuang sekadar untuk mengangkat individu tertentu atas nama politik. Kerana kita harus sedar, pejuang islam yang sebenar-benarnya TIDAK PERNAH meminta dirinya diangkat menjadi pemimpin, cukup sekadar mempunyai platform bagi meyampaikan mesej dakwah kepada masyarakat.

Kesimpulannya,Hijrah mengandungi hikmah yang besar sekali peranannya dalam pembangunan ummah amnya dan mahasiswa islam khususnya. Suatu kumpulan masyarakat tidak akan menjadi baik jika setiap individu yang ada di dalamnya telah rosak kerana kumpulan masyarakat itu bergantung kepada individu itu sendiri. Oleh itu, hijrah amat ditekankan di dalam al-Quran dan disebutkan sebanyak lebih 28 kali di dalam berbagai bentuk dan makna. Dengan hijrah, hati, perkataan dan perbuatan kita akan menjadi bersih dari segala maksiat, dosa dan syirik seperti kisah khalifah Umar bin al-Khathab R.A yang menarik untuk kita renungkan bahawa beliau sebelum memeluk Islam dikenali dengan julukan “penghulu para pelaku kejahatan”, namun setelah berhijrah, beliau menjadi pemimpin yang disegani, tawaddhu’ dan suka menolong orang miskin, menjadi tonggak bagi berkembangnya agama Islam. Hakikatnya hijrah sangatlah berat, kerana di samping harus memiliki kesabaran, kita juga dituntut memiliki keteguhan aqidah dan keyakinan agar tidak mudah termakan dengan pujuk rayu dan godaan dari kenikmatan dunia yang fana.

Salam Hijrah Mahasiswa, 1433 H.