Sunday, 6 November 2011

Program Seksualiti Merdeka : Tergamakkah kita?

Isu seksualiti Merdeka yang dirancang akan diadakan oleh gabungan beberapa NGO pada 9 November ini mencetuskan pelbagai bantahan daripada segenap lapisan masyarakat di Malaysia.Bantahan demi bantahan ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia sememangnya peka akan perkara-perkara yang bertentangan dengan norma masyarakat Islam khasnya.Namun begitu kedegilan pihak penganjur dalam mempertahankan program ini sememangnya menimbulkan kebencian terhadap isu-isu yang menggugat keamanan dan ketenteraman masyarakat Malaysia.Kebanyakkan masyarakat menolak untuk diadakan program ini sekaligus membuktikan konsep Human Right yang dibawa oleh penganjur adalah tidak langsung bersesuaian selagi mana Islam menjadi anutan sebilangan besar masyarat Malaysia.

Seperti yang kita sedia maklum, masyarakat Malaysia secara keseluruhannya tidak mengiktiraf LGBTIQ (Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender, Intersex, Questioning) sebagai sesuatu yang diamalkan secara terang-terangan dalam sistem sosial. Cubaan untuk mengikitraf kesahan undang-undang golongan ini juga gagal berdasarkan keputusan kes Ashraf yang ditolak permohonannya pada Julai yang lalu. Cubaan untuk menukar status jantina pada dokumen rasmi warganegara Malaysia diakui oleh Mahkamah sebagai bertentangan dengan nilai yang ada pada masyarakat hari ini. Namun ini tidak bermaksud, masyarakat menolak secara total kewujudan mereka sebagai manusia biasa (natural person) kerana, golongan ini tidak dinafikan hak-hak mereka untuk mendapat pendidikan, pekerjaan dan menikmati peluang-peluang ekonomi yang ada sepertimana layaknya seorang warganegara. Masyarakat pada hari ini pada hakikatnya, tidak mungkin mampu menerima penzahiran kecenderungan seksualiti mereka seperti di England yang mempunyai Gender Recognition Act mereka sendiri, ini kerana perbezaan budaya dan etika yang selama ini dipraktikkan di Malaysia tidak mengizinkan budaya sensualiti bebas seperti ini diamalkan dalam kalangan masyarakat yang berpegang teguh pada nilai agama. Sekiranya masyarakat pada hari ini mampu menerima kesahan golongan tersebut, sudah pasti, dengan rasa hormat yang sewajarnya, Mahkamah telah membenarkan permohonan tersebut sejak dari awal lagi.

Mencabar agama Islam sebagai agama rasmi

Di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama rasmi negara. Walaupun begitu, agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni di dalam mana-mana bahagian Persekutuan. Islam menolak keras perbuatan-perbuatan ini. Memetik sebuah artikel yang dipaparkan di laman Institut Kefahaman Islam Malaysia karya Siti Fatimah Binti Abdul Rahman, Felo Kanan IKIM, penulis menafsirkan “perbuatan keji” di dalam ayat 80 surah al-‘Araaf sebagai perbuatan lelaki mendatangi lelaki bagi melempiaskan nafsu.

Motif larangan homoseksualiti bukanlah kerana penindasan, isu bilangan penduduk dunia mahupun menjadikan hubungan seks untuk tujuan lain yang tidak berkaitan dengan prokreasi. Tetapi, Islam melarang perbuatan itu kerana ia bertentangan dengan fitrah manusia yang dicipta berpasangan dan pasangan lelaki ialah wanita dan bukannya lelaki juga. Jika tidak, mengapa Allah menciptakan Hawa (perempuan) untuk Adam (lelaki) semasa Adam merupakan satu-satunya manusia yang wujud? Jika jantina tidak penting, mengapa Allah menciptakan seorang wanita dan bukannya sepuluh atau seratus orang lelaki untuk menemani Adam? Tidakkah kita terfikir tentang hal ini?

Secara konklusinya, Seksualiti Merdeka jelas mengetepikan fitrah asal kejadian manusia yang diciptakan berpasangan dan telah jauh meninggalkan firman Allah mengenai larangan hubungan sejenis. Tuntasnya, manusia harus berbalik ke akar tunjang asal kejadian mereka yang mereka itu diciptakan berlandaskan aturan dan bukannya kebebasan.Saya percaya agama-agama lain juga menolak perlakuan songsang ini apatah lagi mengiktiraf perlakuan mereka sebagai sesuatu yang diamalkan secara terang-terangan.Mahukah anda generasi akan datang menganggap LGBTIQ ini sebagai sesuatu yang tidak salah kerana generasi kini mula mengiktiraf perkara ini sebagai sesuatu yang tidak salah dan diamalkan secara terang-terangan?Adakah kita mahu genarasi kita adalah penyebab kepada semua ini berlaku?Tergamakkah kita?Fikir-fikirlah-UMD