Fenomena Program Jati Diri Mahasiswa Tahun Pertama
Program Jati Diri ini dibangunkan bagi meningkatkan
pengetahuan dan sikap minda positif peserta dalam membangunkan potensi
kepimpinan diri, semangat patriotisme, kenegaraan dan membina jati diri sebagai
mahasiswa warganegara Malaysia yang mempunyai wawasan, halatuju dan matlamat hidup
yang betul dan jelas, menyokong kemajuan dan kestabilan negara, serta cintakan
agama, bangsa dan negara. Selain itu, program ini juga menerangkan tentang
unit-unit yang terdapat di Bahagian Hal Ehwal Pelajar agar peserta dapat pergi
ke saluran yang betul sekiranya menghadapi masalah. Program ini juga
menyediakan pelbagai aktiviti-aktiviti outdoors
yang menarik seperti treasure hunt
dan paintball yang dapat membina
kerjasama dan ketahanan diri peserta.
Salah seorang peserta yang sempat ditemuramah memberitahu,
modul program ini sangat bermanfaat kepada dirinya selaku mahasiswa tahun
pertama serta bertepatan ke arah melahirkan mahasiswa yang kukuh jati dirinya
bagi menghadapi cabaran dan dugaan sepanjang 4 tahun pengajian di Universiti
Malaya. Beliau jturut berpendapat program ini juga dapat menghilangkan tekanan
yang dihadapinya akibat jadual pengajian yang padat serta mendapat suntikan semangat
yang baru untuk belajar bagi mencapai keputusan yang cemerlang. Seorang lagi
mahasiswa tahun pertama yang ditemuramah pula memberitahu bahawa dirinya amat seronok
kerana mendapat ramai kenalan baru yang terdiri dari pelbagai fakulti selain
begitu teruja dengan pengalaman pertamanya bermain paintball. Beliau turut menambah bahawa kemudahan penginapan, dewan
seminar dan tempat beraktiviti adalah sangat baik, jauh terpesong daripada
persepsi awalnya sebelum menghadiri program tersebut. Beliau juga berharap agar
program ini dapat diteruskan pada masa yang akan datang agar peluang ini turut
dapat dirasai oleh mahasiswa tahun pertama yang lain.
Syabas diucapkan kepada para peserta dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Malaya.