Tuesday, 22 October 2013

SRIKANDI MALAYA MULA LANGKAH PERTAMA

21 Oktober 2013, Isnin - Sesi Perkongsian bersama Saudari Nuratiqah Jani atau lebih dikenali sebagai AJ anjuran Srikandi Malaya telah berlangsung dengan jayanya. Majlis ini turut menampilkan Penerima Anugerah Nadi Negara merangkap Mantan Pengerusi Srikandi Malaya, Saudari Nurul Faatin Razali sebagai tetamu istimewa dalam sesi perkongsian ini. Program yang dianjurkan ini bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim dan merapatkan ukhwah seluruh mahasiswi di UM tanpa mengira agama dan bangsa. Program ini juga bertujuan untuk membuka peluang kepada semua siswi untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan dan mengembangkan kekuatan diri dalam pembentukan karakter seorang mahasiswi yang berdaya saing.

Sesi perkongsian ini yang bermula seawal jam 8.30 malam merupakan satu inisiatif baru daripada Srikandi Malaya buat yang pertama kalinya diadakan. Topik-topik perbincangan ini juga menjurus ke arah pembentukan mahasiswi yang progresif dan berdaya saing serta perkongsian tips-tips kejayaan Penerima Anugerah Nadi Negara, Nurul Faatin Razali dalam suasana yang santai dan berilmiah.

Menurut Nurul Faatin atau lebih dikenali sebagai Kak Long, "Kita hidup jangan hanya menjadi seorang penyokong tetapi jadilah seorang pendokong kerana penyokong dan pendokong adalah dua perkara yang sangat berbeza. Sokong! Sokong! Sokong! Penyokong hanya menyatakan sokongan tetapi tidak lebih daripada itu manakala pendokong menjalankan kerja atau dikira usaha untuk menaikkan misi dan visi yang disokong itu.


Mengulas kata-kata Faatin pada malam itu juga, mendokong adalah 'action' atau tindakan apa yang perlu dibuat untuk menyokong apa yang disokong serta memegang prinsip yang disokong itu." Beliau juga menyeru siswi-siswi yang hadir untuk membuka minda agar melihat penglibatan mahasiswi dalam aspek kebajikan itu sebagai sesuatu yang lebih besar lagi seperti membawa agenda mahasiswi dan wanita dalam pembentukan dasar negara, mengharumkankan nama negara, melibatkan diri secara aktif dalam memajukan negara dan sebagainya bukan sekadar melakukan amal dengan ke rumah anak-anak yatim atau ke rumah orang-orang tua.

Tegas Faatin lagi, perjuangan Islam itu tidak akan tertegak jika tidak ada keamanan di negara itu. Justeru, konsep wilayah harus dipegang di mana kekalkan keamanan dan keharmnonian negara terlebih dahulu barulah bercinta dengan perjuangan-perjuangan lain. Tanpa keamanan negara, konsep itu tidak akan terpakai.

Sebelum berakhir, Saudari AJ sekali lagi menyatakan bahawa gerakan Srikandi Malaya adalah bertujuan untuk menghimpun dan menyatukan seluruh mahasiswi tanpa mengira Institusi Pengajian Tinggi seluruh negara dan berfokus kepada kepelbagaian agenda Mahasiswi pada hari ini . Sesi ini ditutup dengan kata-kata semangat daripada Saudari AJ selaku Pengerusi Srikandi Malaya yang mendapat tepukan gemuruh daripada para hadirin, "Carilah erti Srikandi Malaya dan erti perjuangan itu sendiri. Jika Lelaki adalah pemimpin, wanita adalah pendidik. You educate a man, you educate a man. You educate a woman, you educate a generation. Srikandi Malaya, pejuang wanita!".