Wednesday, 7 December 2011

Peristiwa 10 Muharram


TARIKH 10 Muharam mencatatkan beberapa peristiwa penting untuk renungan bersama seperti dicatatkan Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Mukasyafatul Qulub. Antara peristiwa dikaitkan dengan tarikh itu ialah dicipta Nabi Adam dan dimasukkan Adam ke dalam syurga.

Peristiwa paling popular dan sering menjadi perbahasan menjelang 10 Muharam ialah terbunuhnya cucu Nabi SAW, Saidina Hussain di Karbala. kedatangan 10 Muharam turut dirai oleh umat Islam dengan melakukan puasa sunat atau lebih dikenali sebagai hari Asyura. Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam berpuasa pada hari itu kerana ia mempunyai kelebihan. Daripada Aisyah, katanya: “Biasanya orang Quraisy ketika jahiliah berpuasa pada hari Asyura dan Nabi SAW pun berpuasa. Ketika tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada hari Asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga.” (Hadis riwayat Muslim).

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, katanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Berpuasalah kamu pada hari Asyura dan buatlah perbezaan padanya (daripada) orang Yahudi (dengan) berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.” (Hadis riwayat Ahmad) Ulama menyebut, hikmat disunatkan berpuasa pada hari Tasu’a (9 Muharam) untuk membezakan amalan orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam).

Allah memberikan kita nikmat yang tidak terbilang banyaknya termasuk peluang melakukan amal ibadat tertentu dengan pahala berlipat ganda berbanding amalan dilakukan pada waktu biasa. Contohnya, Allah memuliakan bulan Muharam dan menggalakkan kita berpuasa sunat.
Peluang ini mungkin dipandang remeh bagi orang yang tidak mengetahui kelebihannya tetapi hakikat itulah nilai yang menentukan sejauh manakah kepekaan seseorang Muslim mencari keredaan Allah SWT dengan tidak mensia-siakan nikmat sihat dan kelapangan waktu dikurniakan padanya.

Oleh itu, marilah kita sebagai mahasiswa dan mahasiswi yang beragama Islam  bersama menyahut seruan Rasulullah SAW ini mudah-mudahan ketakwaan kita kepada Allah SWT semakin meningkat.  Jika kita mengingati Allah dan Rasulnya, tidak mustahil Allah dan Rasulnya tidak melupakan kita-UMD